Wednesday, July 1, 2009

APA OBJEKTIF SYARIAT?


DARI ROMA PULANG KE LINTANG PUKANG –
Bicara mengenai usul Objektif Syariat Presiden Pas, Haji Hadi Awang



Kerana President Pas, Haji Abdul Hadi Awang, mempunyai dasar dan ukurannya ketika menegur Sisters-in-Islam (SIS) supaya berhati-hati dalam mengejar reformasi Syariat untuk memperjuangkan hak wanita dalam Islam, beliau terus dibalun sebagai seseorang yang menidakkan kebebasan berbicara mengenai agama dalam ruang awam (public domain).

Undang-undang dan pengadilan, sama ada Islam atau sekular, tentu sekali merupakan bidang pengkhususan yang tidak membolehkan orang sebarangan mengusul bicara mengenainya agar umum tidak akan kekeliruan. Ia terhad untuk mereka yang terpelajar dan/atau terlatih dalam bidangnya.

Namun, mereka yang tidak senang dengan Islam terus menerus menolak Syariat sebagai sesuatu sistem undang-undang dan pengadilan yang patut dilindungi daripada kritik dan tuntutan sombrono.

Mereka bersikap seolah-olah Islam dan Syariatnya adalah kolot dan boleh diperlakukan seperti sampah.

Ini adalah gejala dan gejala ini merupakan sesuatu yang kelahiran daripada tujuan Reformasi di Malaysia.

Syariat mengutarakan budi bahasa yang berlemah-lembut (rifq), berbahasa dengan manis dan meringangkan (husn al-khulq) dan supaya berihsan dalam segala perhubungan dan perbuatan.

Maka kita perlu menerangkan dulu segala sesuatu yang asas berkenaan dengan dasar dan perhitungan kita kenapa kita tidak mengharuskan perbicaraan sombrono mengenai Syariat.

Tidak ramai orang Islam di Malaysia mengetahui apakah Objektif Syariat (Maqasid al-Syariah) kerana subjek itu, walau telah diperkenalkan dalam Pengajian Islam di Universiti Malaya sejak awal tahun 1960an, ia kurang menjadi buah perbincangan.

Objektif Syariat adalah kebaikan (masalih atau benefits) yang menjadi tujuan undang-undang Islam.

Lima kebaikan yang utama dan yang menjadi asas (dharuriyat al-khamsa) yang oleh Haji Hadi diungkapkan dalam Ucapan Dasarnya pada Muktamar Pas ke 55 baru-baru ini, adalah rumusan Imam al-Ghazali.

Objektif

Al-Ghazali mengutarakan bahawa lima kebaikan yang asas ini, yakni iman, nyawa, akal, zuriat dan harta, adalah tujuan Syariat yang utama dan yang tidak boleh dileka-lekakan oleh sesebuah masyarakat Muslim.

Ringkasnya, objektif Syariat bertujuan membentang dan melindungi kebaikan masyarakat yang maksima (the greatest public good) dan Dharuriyyat al-khamsa adalah lima keperluan asas dalam cara hidup Islam.

Siasah dalam Islam, secara yang unggul, justeru, adalah untuk memperjuangkan objektif-objektif (maqasid) Shariat dan Maqasid al-Syariat diberi kepada tiga bahagian yang besar, yakni:

a) Lima yang Asas (Dharuriyat al-Khamsa) – lindungan dan kemajuan (i) keimanan, (ii) nyawa dan anggota tubuh, (iii) kemajuan akal (intelek), (iv) zuriat atau lineage, (v) harta (property).

b) Hajiyyat, atau segala pembangunan dan kemajuan komplimentari pada yang lima perkara tadi.

Umpamanya, mendirikan sekolah adalah tergolong dalam kategori Dharuriyyat, dan meningkatkan keselesesaan persekolahan dengan ada bilik darjah berhawa dingin dan beroleh semua alat elektronik pembantu pembelajaran adalah Hajiyyat.

c) Tahsiniyyat, atau perhiasan yang diingini. Bila sudah masyarakat dan Negara beroleh pembangunan dan kemajuan yang asas dan yang komplimentari barulah perbelanjaan dapat diperuntukkan supaya mewujudkan sekitaran yang lebih cantik dan selesa. Ini kategori Tahsiniyyat, atau perhiasan.

Maqasid al-Shariat, justeru, menjadi dasar untuk sebarang tindakan reformasi Syariat dan sekaligus menjadi jadual nilai masyarakat Islam untuk menyesuaikan diri dengan zaman.

Penerangan Asas

Yang di atas tadi hanyalah penerangan yang asas. Kita akan dapati nanti susunan al-Ghazali yang meletakkan dasar Maqasid al-Syariat yang pada lima perkara seperti yang tersebut di atas akan diubah secara yang menyeluruh oleh ibn Taimiyya.

Pendekatan ibn Taimiyya, yakni Bapa Reformasi Islam, itulah diteruskan sampai sekarang oleh mujtahid Yusuf al-Qaradhawi.

Maqasid al-Syariah bukan satu undang-undang Islam atau sesuatu dasar yang berkuatkuasa sebagai satu undang-undang. Ia hanyalah satu perutusan yang diterima oleh umat Islam sebagai dasar dalam Usul Fiqh dan laku sebagai satu asas untuk segala perbicaraan berkaitan undang-undang Islam, atau mengenai Syariat secara umum.

Saya percaya itu sajalah yang menjadi maksud Haji Hadi Awang, yakni untuk mengutarakan pada masyarakat supaya menghurmati objektif-objektif Syariat bila melangkah untuk mengejar perubahan atau pembaharuan Syariat.

Apakah Maqasid al-Shariah ini berguna, atau masih laku dalam masyarakat di Malaysia yang sudah menjadi industrial dan berkotaraya, justeru, merupakan perkara-perkara yang bolehlah dibangkitkan dalam perbincangan.

Yang kurang disenangi hanya sikap acuh-tak-acuh sebilangan orang Islam dan warga Malaysia maupun yang terus bersikap bermusuhan seolah-olah mereka hendak menghapuskan Islam yang mereka pandang sebagai satu kepercayaan yang sudah jauh ketinggalan zaman.

Apakah mereka telah beroleh satu cara hidup yang istimewa? Di mana letak contoh budaya, tamadun dan cara hidup itu?

Satu garis retak yang sudah lama menanti belah telah membentuk konflik terbuka. Yang belum dapat dapat dipastikan adalah apa mungkin SIS akan membuka langkah supaya bertarung dalam gelanggang usul figh ini. ----a.ghani ismail, 1 July, 2009

No comments: